Memang berat bagi Sharifah untuk menukar haluan dari bidang katering ke bidang penternakan kerana telah selesa dengan perniagaan tersebut. Ia adalah perniagaan turun temurun dari keluarga di mana semenjak kecil beliau selalu membantu ibunya membuat katering.
"Hasil perniagaan katering keluarga banyak membantu keluarga saya terutama kami tiga beradik. Sebagai anak sulung saya diberi tanggungjawab untuk mengambil alih perniagaan sepenuh masa setelah tamat belajar pada 1999.
Perniagaan itu menjadikan saya selesa walaupun harus bersaing dengan peniaga lain, namun demi ibu, saya cekalkan hati untuk menukar haluan,” katanya yang lebih mesra dipanggil Kak Pah dari Taman Kemajuan Kangar Perlis ini.
Ibu sakit ubah segalanya
Saya menerima ujian getir pada 2011 apabila ibu Hasmah Ismail, 56, disahkan menghidap kanser limfoma yang menyebabkan saya perlu sentiasa berada di sisi ibu.
Menjadi kewajipan bagi pesakit kanser yang perlu melalui tempoh rawatan menjalani kemoterapi yang menyakitkan bagi menyembuhkan penyakitnya.
Selepas kemoterapi, ibu saya jadi kurang bermaya dan oleh sebab itulah saya terpangggil untuk sentiasa berada di sisinya. Melihat keadaan ibu, ada rakan-rakan mencadangkan dia minum madu kelulut bagi membantu memulihkan tenaga.
Saya lakukan cadangan itu dan Alhamdulillah selepas diamalkan ibu saya kembali segar.
Bermula daripada situlah ibu mencadangkan saya menternak sendiri kelulut kerana untuk membeli sendiri harganya agak mahal di pasaran.
Ketika itu saya belum bersedia kerana kos menternak kelulut terlalu tinggi.
Berbekalkan semangat yang diberikan oleh seorang ibu, saya mula melaburkan duit untuk membeli empat katung / sarang kelulut yang turut dipanggil haif dengan harga RM1,500 setiap satu.
Labur simpanan
Pada Jun 2013, saya melaburkan kesemua simpanann sebanyak RM20,000 bagi membeli 20 haif untuk diternak, sekali gus menukar kerjayanya secara seratus peratus.
Setiap hari saya menghabiskan masa selama lapan jam di hutan kecil tanah milik bapa bagi melihat perkembangan kelulut yang dipelihara.
Selama lima bulan saya berulang alik ke hutan namun dalam tempoh itu langsung tiada hasil madu sedangkan kesemua wang simpanan telah habis dilaburkan untuk kelulut.
Mahu tidak mahu saya terpaksa bertahan sebelum saya melihat haif ini berisi madu pada hujung 2013. Gembiranya saya hanya Tuhan yang tahu kerana usaha saya membuahkan hasil.
Sejak awal tahun ini, saya tidak pernah putus bekalan madu daripada 20 haif yang dibeli apabila hampir setiap bulan sebanyak 40 sehingga 60 kilogram madu diambil setiap bulan. Hasil jualan madu itu saya gunakan untuk menambah haif sedikit demi sedikit sehinggalah menjadi 200 haif sekarang.
Kehilangan ayah
Dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan, saya berasa sedikit selesa dengan hasil yang diperoleh. Sedihnya, saya kembali diuji apabila bapaa Syed Shaharuddin Datuk Syed Darus Jamalullail, 62, dijemput Ilahi pada Julai lalu.
Kematian bapanya sedikit sebanyak mengganggu perasaan saya kerana arwah ayah pergi di saat beliau sedang mengukir kejayaan.
Bagaimanapun saya reda kerana sebagai anak sulung saya kini menjadi tunjang keluarga untuk menjadi contoh kepada dua adik yang turut membantu saya di sini.
Alhamdulillah sejak mendapat perhatian daripada pelbagai agensi kerajaan terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), saya lebih sistematik menguruskan perniagaan secara online melalui 1metbiz.com.
Bermula dengan teknik pemasaran itu, pendapatan saya kini melonjak kepada hampir RM10,000 setiap sebulan. Saya sarankan wanita di luar sana berani mencuba di luar kebiasaan kerjaya wanita kerana percayalah hasilnya juga akan menjadi luar biasa!