Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata ia bertujuan mengurangkan risiko kepada sebarang masalah kesihatan akibat cuaca panas.
"Sekiranya terpaksa berada di luar, gunakan topi atau payung serta krim pelindung cahaya matahari," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) sebelum ini memaklumkan Ekuinoks merupakan satu fenomena apabila matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa selepas bergerak dari hemisfera selatan ke utara yang menyebabkan cuaca lebih panas dan tempoh siang di kawasan Khatulistiwa lebih panjang daripada biasa.
Katanya, selain individu yang terpaksa bekerja dalam cuaca panas seperti nelayan, anggota keselamatan dan buruh, golongan bayi dan kanak-kanak di bawah
usia empat tahun juga amat sensitif terhadap suhu panas.
"Pastikan kanak-kanak tidak ditinggalkan dalam kereta. Ini kerana mereka terpaksa bergantung kepada orang dewasa bagi mendapatkan bekalan air yang cukup
serta mengawal suhu persekitaran," kata beliau.
Bagi mengurangkan kesan fenomena Ekuinoks di rumah atau bangunan, Dr Lokman Hakim menyarankan supaya peralatan elektrik yang tidak digunakan dimatikan,
selain membuka tingkap pada waktu malam atau awal pagi untuk mengeluarkan haba yang terkumpul.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dengan Ekuinoks kerana ia fenomena biasa yang berlaku dua kali setahun, pada Mac dan September.
Menurutnya tidak semua tempat dalam negara akan mengalami suhu yang tinggi, namun negeri-negeri di utara diramal menghadapi suhu lebih tinggi berbanding
negeri lain.
Katanya peningkatan suhu dijangka meningkat satu atau dua darjah Celcius sahaja akibat Ekuinoks.
"Ia juga dipengaruhi faktor cuaca. Kalau hujan sudah tentu suhu tidak terlalu tinggi semasa Ekuinoks," katanya. – Bernama