Alhamdulillah, sarang-sarang lebah kelulut yang dihantar oleh pihak Syamille ke Kg Lonek di bawah program Desa Lestari KKLW telah membuahkan hasil. Tahniah kami ucapkan kepada Kolonek Berhad.
|
Nur Hafiza Mohd. Zin (dua dari kiri) bersama ahli Kolonek melihat sarang
lebah kelulut di Homestay Lonek, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.
JEMPOL 5 Feb. - Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad (Kolonek
Berhad) kini memperluaskan bidang ekonomi dengan menceburi industri
ternakan lebah kelulut.
Pengurus projek, Nur Hafiza Mohd. Zin, 26, berkata, projek tersebut
telah dimulakan pada Oktober tahun lalu dengan berbekalkan 50 sarang
lebah untuk peringkat permulaan.
"Pada Januari lalu kita tambah ke fasa kedua dan kini terdapat 100
sarang lebah kelulut di inap desa ini. Peringkat awal kami menghadapi
masalah apabila lebah tersebut mengeluarkan hasil yang agak sedikit
sahaja.
"Selepas beberapa kali meningkatkan penjagaan lebah ini akhirnya
mengeluarkan hasil dalam jangka masa tiga minggu," katanya ketika
ditemui di inap desa Lonek, dekat sini hari ini.
Katanya lagi, idea menceburi industri tersebut bermula apabila inap
desa ini mendapat dana bernilai RM2.6 juta daripada Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah di bawah program Desa Lestari Abad Ke-21.
"Kami memilih projek lebah kelulut kerana ia mudah dijaga dan
mendapat permintaan tinggi di pasaran. Madu dari lebah ini boleh dijual
dengan harga RM120 ke RM200 setiap kilogram.
"Selain projek lebah, kami juga kini dalam proses pembinaan lima buah
chalet, tapak perkhemahan serta telah membeli tiga buah van untuk
kegunaan pengunjung di sini," ujarnya.
Tambah Nur Hafiza, pihaknya yakin bahawa kemudahan dan penambahbaikan
di inap desa ini serta kerjasama daripada pihak Kolonek Berhad, usaha
itu mampu meningkatkan jumlah pengunjung pada tahun ini.
"Kita turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar
inap desa ini dan untuk projek lebah ini sahaja, ia kini diuruskan oleh
12 orang ahli koperasi.
"Hasil latihan yang diterima mereka daripada agensi swasta, kita optimis madu ini dapat dipasarkan bulan hadapan," ujarnya.
|