KEMAMAN – Pejalan kaki kebanggaan Kemaman,
Sabri Ali, 54, sekali lagi akan mengangkat nama daerah ini dan Terengganu di
mata masyarakat luar menerusi Program Kelulut Walk 2016 yang pelepasannya akan
disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen
Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada hari ini di Taman Botani Negara,
Shah Alam.
Diangkat sebagai Duta Kelulut Walk oleh Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sabri kali ini akan berjalan sejauh
2,000 kilometer (km) merentasi 14 negeri dalam tempoh 50 hari sekaligus bakal
memperbaharui rekod yang diciptanya dua tahun berturut-turut sebelum ini.
Dalam misi berjalan kakinya pada 2014 dan tahun lalu,
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Kos
Rendah (RAKR) Bukit Kuang yang popular dengan panggilan nama Pok Sabri
itu hanya berjalan menjelajah Semenanjung Malaysia namun dalam Program Kelulut
Walk, dirinya akan turut merentasi Sabah dan Sarawak dan mengatasi jarak
perjalanan 1,700km pada 2014 dan 1,640km pada 2015.
Juruteknik Eastern Steel Sdn Bhd itu yang menjadi
testimoni kepada khasiat kelulut untuk kesihatan dan kecergasan dijangka akan
menamatkan misi pada 4 Disember dan ketibaannya di Malaysia Agro Exposition
Park Serdang (MAEPS) akan disambut sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Lebih manis, sejurus berakhir misi itu beliau juga akan
menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kerana menjadi pejalan
kaki solo merentasi seluruh Malaysia seterusnya memakbulkan doanya memahat nama
anak Kemaman dalam rekod negara.
Dapat rasai perbezaan ketara lepas amal madu kelulut, Sabri
berkata, pengalaman dalam dua misi berjalan kakinya sebelum ini akan
dimanfaatkannya sepenuhnya untuk memperkenalkan khasiat madu kelulut kepada
masyarakat di samping akan mempromosikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan
Agropelancongan Antarabangsa (Maha) 2016 dengan kaedah menarik bagi membalas
kepercayaan yang diberikan MOA terhadapnya.
“Saya mula amalkan pengambilan madu kelulut sebagai
makanan kesihatan tambahan pada misi berjalan kaki tahun lalu dan hasilnya
sangat mengagumkan. Saya dapat rasai perbezaan ketara antara misi pertama dan
kedua.